“Tolong kawan... tapi jangan ambil kesempatan”

Minggu, 19 Desember 2010

“Tolong kawan... tapi jangan ambil kesempatan”


Tolong kawan... tapi jangan ambil kesempatan

Posted: 19 Dec 2010 08:04 AM PST

Mudah cetak
E-mel

19 Dis 2010

EKSTRA!

Tolong kawan... tapi jangan ambil kesempatan

PERNAHKAH anda berada dalam keadaan serba salah apabila teman anda ingin pinjam duit - sama ada untuk bayar hutang, berniaga atau melabur?

Biasanya naluri kita ialah untuk membantu teman kita itu supaya berjaya dalam pelaburan atau perniagaannya yang merupakan nafkah hidupnya.

Jika jumlahnya tidak begitu banyak, katakan $500 atau $1,000, bolehlah kita pertimbangkan untuk membantu dan tidak mengharapkan apa-apa sangat, jika teman kita tidak dapat memulangkan semula.

Namun jika jumlah yang diperlukannya besar, misalnya $10,000 dan ke atas, kita kenalah fikir banyak kali.

Rakan kita, biasanya sebelum mendapat pinjaman, akan berjanji dengan bersungguh-sungguh dalam tempoh 'terdekat' atau apabila pelaburan atau perniagaannya maju atau balik modal, beliau akan membayar semula pinjaman kita.

Namun seperti yang kita ketahui, perniagaan dan pelaburan ada banyak risiko. Tidak kurang juga perniagaan orang kita yang menghadapi kegagalan kerana pelbagai sebab termasuk salah mereka sendiri.

Adakah ini bermakna pinjaman kita itu juga akan turut 'terkorban' kerana perniagaan kawan kita itu 'tak menjadi?'

Biasanya kita diminta supaya memahami keadaan 'nasib' perniagaan kawan kita itu dan jangan mengharapkan apa-apa daripada beliau. Maksudnya 'kau faham-faham ajelah keadaan aku.'

Hakikatnya, setiap orang mempunyai keperluan untuk menggunakan wang, misalnya untuk 'hari hujan' bagi perbelanjaan anak-anak, atau mereka mempunyai ibu bapa yang sering sakit dan bila-bila masa memerlukan wang untuk menghantar mereka ke hospital, di samping wang perubatan yang tinggi kosnya.

Atau anda mungkin mempunyai rancangan lain, seperti ingin membeli kereta baru misalnya.

Namun kerana menaruh kasihan kepada teman, anda berkorban menangguhkan keperluan-keperluan anda itu dan sebaliknya memberikan juga pinjaman itu dengan harapan teman anda itu juga menghargai dan membayar semula wang anda.

Namun daripada apa yang saya alami dan juga daripada pengalaman teman-teman kerja saya sendiri, biasanya pinjaman itu sukar dibayar semula kerana perniagaannya 'masih belum menguntungkan', atau yang lebih buruk lagi jika perniagaan atau pelaburan itu 'tak menjadi'.

Mulalah persahabatan yang akrab itu menjadi renggang. Teman anda sudah mulai 'menghilangkan diri' dan sukar dihubungi kerana 'sibuk.'

Maka orang yang meminjamkan berasa tertipu dan 'dipermainkan'.

Persahabatan lalu menjadi dingin dan ada kalanya bertukar menjadi permusuhan. Ringkasnya, teman atau sahabat baik anda kini sudah tidak lagi menjadi baik kepada anda.

Adakah ini kesudahannya yang kita mahu?

Jika tidak mahu demikian, maka jangan pinjamkan wang anda yang banyak atas dasar kasihan. Nasihatkan teman anda itu supaya mendapatkan pinjaman daripada bank atau institusi kewangan lain jika mereka benar-benar perlu menggunakan wang bagi perniagaan atau pelaburan.

Anehnya orang-orang ini bukannya tidak tahu. Mereka biasanya tidak mahu mendapatkan pinjaman wang bank kerana bank tidak bersifat kasihan dan jika pinjaman itu tak dibayar, mereka akan disaman atau diheret ke mahkamah.

Mereka tidak mahu menangung risiko tersebut dan menyatakan pinjaman bank sangat melecehkan.

Satu syarat atau panduan yang mungkin boleh dikongsi bagi menghadapi teman anda yang ingin meminta pinjaman ialah pastikan sama ada apa yang beliau inginkan itu adalah suatu keperluan ataupun suatu kemahuan.

Panduannya serupa seperit yang biasa kita gunakan untuk berbelanja atau membeli barangan - sama ada barang yang ingin dibeli itu kita satu keperluan atau sesuatu yang kita mahu dapatkan lebih kerana tarikan nafsu atau keinginan semata-mata.

Bagi saya, meminjamkan wang untuk perniagaan teman kita juga merupakan satu keinginan, bukan keperluan. Ini kerana teman kita itu mempunyai pilihan.

Tetapi jika teman kita memerlukan kewangan kerana anaknya perlu menjalani pembedahan dan jika tidak dilakukan kemungkinan anaknya itu menghadapi mudarat besar seperti menemui maut, maka bantuan itu menjadi satu keperluan baginya.

Jika teman kita itu tidak mempunyai wang untuk dijadikan modal perniagaan atau pelaburan, beliau haruslah bekerja makan gaji dahulu. Kumpulkan wang sendiri. Sudah cukup simpanan barulah buka kedai atau perniagaan sendiri.

Jika tidak, kerja makan gaji sudah memadai dan jangan menyukarkan orang lain dengan melibatkan orang lain dengan membuat janji-janji manis dengan gambaran kejayaan dan pulangan pelaburan yang belum pasti.

Malah, risiko perniagaan dan pelaburan menjadi lebih tinggi terutama jika teman anda itu menceburi perniagaan atau pelaburan yang beliau tiada kemahiran, tukikan atau pengalaman dalam selok-belok perniagaan.

Justeru, buatlah penilaian sebelum anda memberikan pinjaman.

Saya sarankan lebih baik jika kita tidak mudah percaya pada orang yang suka 'menanam tebu di bibir manis' atau memberi pinjaman atas dasar kasihan.

Kalau teman anda itu benar-benar ingin menjalankan perniagaan atau pelaburan dan mendesak anda membantunya, maka memadailah jika anda setakat memberi beliau wang yang anda selesa memberi dan menghulurkan dengan ikhlas.

Cara ini akan menyelamatkan persahabatan anda berdua - supaya tidak begitu mengecewakan teman anda dan anda juga tidak mengharapkan apa-apa balasan kerana anda sudah menolongnya dengan memberinya sedikit bantuan... secara ikhlas.

Beritahu juga teman anda bahawa anda turut mendoakan semoga usaha perniagaannya atau pelaburannya itu berjalan dengan baik, berkat dan berjaya.

Akhir kata, usah ambil kesempatan daripada teman anda bagi kepentingan diri anda sendiri.

Memang sahabat yang sebenar adalah mereka yang sedia menghulurkan bantuan baik masa senang atau masa susah.

Namun, usahlah keterlaluan sehingga menjejas hubungan antara sahabat hanya kerana duit.

This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read our FAQ page at fivefilters.org/content-only/faq.php
Five Filters featured site: So, Why is Wikileaks a Good Thing Again?.

Diposkan oleh iwan di 13.49  

0 komentar:

Poskan Komentar