“Sasar buka 300 cawangan”

Senin, 07 November 2011

“Sasar buka 300 cawangan”


Sasar buka 300 cawangan

Posted: 07 Nov 2011 09:54 AM PST

Sasar buka 300 cawangan

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes@gmail.com


SESI fotografi profil dan deko kediaman bersama pengasas produk Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim (kanan) bersama-sama anak perempuan beliau, Noor Hayati Kamarulzaman di Bukit Rahman Putra, Sg, Buloh Selangor, baru-baru ini.


SUNGAI BULOH 7 Nov. - Kesukaran mendapatkan pengedar yang setia untuk memasarkan produk-produk milik Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. (Sendayu Tinggi) memberi cetusan idea kepada syarikat milik Bumiputera sepenuhnya itu untuk memfrancaiskan perniagaan mereka.

Pengarah Eksekutifnya, Noor Hayati Kamarulzaman mengakui, biarpun proses untuk memfrancaiskan perniagaan itu bukan mudah tetapi demi kelangsungan Sendayu Tinggi segala kepayahan itu berjaya dilaluinya.

Menurutnya, setakat ini, Sendayu Tinggi sudah memiliki 16 cawangan termasuk tiga yang difrancaiskan dan menyasar untuk memiliki sehingga 45 cawangan francais sehingga akhir tahun ini.

''Sebelum ini kami memang bergantung harap kepada para pengedar tetapi disebabkan tawaran margin lebih tinggi daripada para pengeluar produk herba lain menyebabkan produk kami diketepikan.

''Melihat situasi itu, kami perlu berani untuk melakukan strategi lain dalam memastikan produk Sendayu Tinggi terus dijual dan francais adalah sandaran kami kini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ditanya tentang permasalahan yang dihadapi itu, Noor Hayati berkata, Sendayu Tinggi tidak boleh memberikan margin yang besar daripada yang ditawarkan kerana dakwanya produk itu cukup berkualiti.

''Kalau barang berkualiti sudah tentu bahan-bahan asasnya bukan murah, jadi kami tidak boleh menawarkan apa yang lebih baik daripada tawaran asal,'' tambahnya.

Beliau mengakui walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai proses tetapi pihaknya kini cukup lega kerana usaha yang dilakukan berbaloi kerana keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan francais adalah jauh lebih baik.

Malah, jelasnya, dengan memfrancaiskan perniagaan itu, hasrat Sendayu Tinggi untuk memberi peluang perniagaan kepada peniaga dan usahawan Melayu tercapai.

Francaisi yang berminat hanya perlu menyediakan modal antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi stok dan sistem.

Bagaimanapun, katanya, tawaran itu hanya dibuat kepada francaisi yang mampu memberi tumpuan kepada perniagaan dan bukan sekadar suka-suka.

''Keseriusan ini penting untuk kelangsungan Sendayu Tinggi pada masa depan sebab itu kami hanya mencari peniaga dan usahawan yang serius sahaja untuk menjadi francaisi kami,'' tambahnya.

Noor Hayati berkata, melihat perkembangan yang cukup positif itu, Sendayu Tinggi merancang untuk memiliki 300 buah cawangan francais dalam tempoh lima tahun lagi.

Jelas beliau, pasaran tempatan masih lagi menjadi fokusnya kerana terlalu banyak peluang di negara ini, turut menyifatkan pasaran untuk produk herba, kosmetik dan penjagaan kulit masih tinggi sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Ditanya apakah rahsia keutuhan Sendayu Tinggi meskipun sudah berusia lebih 15 tahun serta menerima persaingan cukup hebat, Noor Hayati berkata: ''Tiada rahsia kecuali mengekalkan kualiti produk kerana ia adalah jaminan kepada kesetiaan para pelanggannya''.

Anak sulung kepada Rozita Ibrahim, pengasas produk itu menambah, pelanggan setia Sendayu Tinggi adalah pelbagai dan kebanyakannya adalah turun-temurun daripada nenek hingga ke peringkat cucu.

Ditanya tentang persaingan, beliau mengakui para pesaingnya sering menggunakan perang harga tetapi ia bukan menjadi kebimbangan besar kepada Sendayu Tinggi.

''Ia kerana produk kami memang menawarkan harga kompetitif dan paling penting produk kami berkualiti tinggi sebab itu jualannya konsisten.

''Jadi kami tidak nampak mengapa pelanggan perlu menukar ke produk lain sedangkan kami menawarkan kedua-duanya - harga dan kualiti,'' tegasnya.

This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.

Diposkan oleh iwan di 13.37  

0 komentar:

Poskan Komentar