“Peneraju Buka Ruang Untuk Bakat Besar Tapi Tercicir”

Jumat, 19 April 2013

“Peneraju Buka Ruang Untuk Bakat Besar Tapi Tercicir”


Peneraju Buka Ruang Untuk Bakat Besar Tapi Tercicir

Posted: 18 Apr 2013 08:30 PM PDT

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ketika ini puluhan ribu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sedang berdebar-debar menantikan surat tawaran ke Institusi pengajian Tinggi Awam mahupun swasta.

Bagi yang cemerlang keputusannya, tentulah tidak timbul sebarang kegusaran.

Namun, bagi yang cukup-cukup makan atau yang memang tidak bernasib baik dalam bidang akademik, hasrat menyambung pelajaran mungkin dianggap sebagai igauan semata-mata.

Apatah lagi jika kemampuan kewangan keluarga agak terbatas. Bagaimana pula jika ada yang seusia mereka benar-benar keciciran sekolah sejak tingkatan empat lagi?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, berdasarkan statistik yang diperolehnya, menunjukkan bahawa anak dalam lingkungan umur 15-16 tahun yang menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan lima adalah jauh lebih rendah daripada jumlah populasi umur itu.

Daripada purata populasi 1.076 juta orang, hanya 832,000 sahaja yang menyambung ke tingkatan empat dan lima. Bermakna lebih 244,000 orang tidak menyambung ke tingkatan empat dan lima.

"Kita pasti daripada jumlah 244,000 ini, ada yang menyambung pelajaran di sekolah bukan kerajaan, akan tetapi kita juga pasti bahawa sebahagian besar daripada jumlah ini adalah benar-benar tercicir dari sekolah," katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis Pelancaran Program Biasiswa Peneraju Tunas Iltizam oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) baru-baru ini turut melahirkan kebimbangan terhadap masa depan kelompok ini.

"Kita sedar banyak faktor yang menyumbang kepada senario tersebut. Ada di antara mereka mungkin kurang cemerlang dalam pelajaran tetapi mempunyai bakat dalam bidang lain.

"Mungkin juga mereka bijak dalam pelajaran tetapi disebabkan keadaan keluarga yang hidup susah, mereka terpaksa berkorban," tambah Nor Mohamed.

PENERAJU TUNAS ILTIZAM

Program Peneraju Tunas Iltizam YPPB disasarkan kepada para pelajar lepasan menengah rendah yang kurang bernasib baik dalam pelajaran tetapi mempunyai sikap, keyakinan diri dan daya saing yang tinggi untuk dibimbing.

Program ini bertujuan membela masa depan pelajar lepasan menengah rendah kurang cenderung dalam pencapaian akademik dan tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah vokasional dan teknik.

Di bawah program itu mereka akan dilengkapi dengan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka mempunyai kerjaya dan kehidupan yang lebih baik.

Mereka yang layak akan dilatih dan dibimbing bagi mendapatkan sijil-sijil kemahiran dalam bidang berimpak tinggi, mendapat pekerjaan yang sesuai dan menjadi seorang warganegara yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Program ini menyasarkan golongan bumiputera berumur 17 hingga 19 tahun dengan kelayakan akademik minimum (boleh membaca dan menulis), bagi yang datang daripada isirumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah serta mempunyai kemahiran komunikasi dan sikap yang baik.

Melalui program ini, mereka akan menjalani latihan kemahiran khusus sehingga berjaya mendapat sijil kemahiran yang diiktiraf dalam dan luar negara.

Pada masa yang sama, mereka akan didedahkan dan dibimbing dengan kemahiran insaniah bertujuan untuk membentuk sikap dan personaliti mereka bersesuaian dengan status mereka sebagai pekerja mahir dan warganegara bertanggungjawab.

BIDANG BERPOTENSI DALAM INDUSTRI

Sebagai perintis, pihak YPPB mengenalpasti beberapa bidang kemahiran khusus untuk ditawarkan di bawah program ini merangkumi 'Painting and Blasting Specialist' dan 'Scaffolders Erectors' bagi industri minyak, gas, tenaga dan marin, 'Cosmetologist' untuk industri kecantikan, serta 'Telco Infra Specialist' untuk industri telekomunikasi.

Selepas mengikuti kursus teknikal selama tiga bulan, mereka berpeluang menjalani latihan industri selama sembilan bulan di syarikat-syarikat terpilih.

Menurut Ketua Eksekutif YPPB Raja Azura Raja Mahayuddin, sebagai alumni Peneraju Tunas Iltizam kelak, mereka juga akan dipantau dan diberi khidmat bimbingan atau sokongan selama tiga tahun oleh para mentor yang dipilih oleh YPBB.

Ia bertujuan memastikan lepasan program ini dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka di samping membina kehidupan yang lebih baik.

Menurut Raja Azura, beliau optimis Peneraju Tunas Iltizam mampu mewujudkan situasi yang saling memanfaatkan kepada peserta program mahupun majikan.

Di pihak peserta program, mereka mendapat peluang kerjaya yang lebih baik bersesuaian dengan kemahiran manakala majikan akan mendapat manfaat setimpal daripada segi penjimatan kos khususnya dalam penyediaan latihan serta proses pengambilan pekerja kerana program ini menyalurkan sumber tenaga kerja mahir secara berterusan dengan industri mereka.

YAYASAN PENERAJU PENDIDIKAN BUMIPUTERA

YPPB adalah satu inisiatif di bawah Hala Tuju Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh TERAJU di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Tumpuannya adalah untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan.

Antara objektif yayasan ini termasuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha Kerajaan dalam menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik dan vokasional.

Tugas YPPB adalah untuk memastikan keupayaan dan kepakaran bakat-bakat Bumiputera akan terus membangun untuk berdaya saing secara kompetitif di peringkat global.

Contohnya, pasukan penggerak YPPB masuk hingga ke kawasan pedalaman mencari calon yang sesuai dan layak dibimbing.

Antaranya ialah seorang pelajar berketurunan Penan yang menjadi pelajar Penan pertama di Universiti Malaysia Sarawak.

Kejayaan itu membawa YPPB mencari lagi pelajar keturunan Penan yang kedua mengikuti program berkenaan dan kini mengikuti pengajian di Melaka.

EMPAT TERAS UTAMA

Program di bawah YPPB terbahagi kepada empat Teras iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional dan Peneraju Pemimpin.

Tahun lepas ia memperkenalkan lima program yang melibatkan hampir 500 peserta atau pemegang biasiswa yang kini meneruskan pengajian di MRSM dan institusi-institusi pengajian tinggi bagi program Tunas Potensi & Geliga.

Manakala sebahagian peserta yang mengikuti program profesional akauntan dan peneraju skil juru kimpal kini menjalani penempatan pekerjaan di firma-firma perakaunan serta mendapat tawaran bekerja di syarikat-syarikat gas dan minyak terpilih.

Sejak ditubuhkan pada 2011 YPPB telah melancarkan tujuh program iaitu Peneraju Tunas Potensi, satu program biasiswa untuk lepasan SPM/STPM. Peneraju Profesional Akauntan, Peneraju skil-Jurukimpal, Peneraju Tunas Geliga iaitu program yang menyediakan kemudahan biasiswa untuk lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peneraju Skil-Elektrikal, Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SSP1M)dan terbaharu dilancarkan Mac lalu ialah peneraju Tunas Iltizam yang menyediakan kemudahan biasiswa untuk lepasan menengah rendah yang tercicir.

Bagi lepasan SPM/STPM 2012, Program Peneraju Tunas Potensi menawarkan 500 lagi biasiswa pada tahun ini. Ia meningkat dua kali ganda daripada bilangan biasiswa yang ditawarkan tahun lepas iaitu 210 biasiswa.

SKIM PRIHATIN PENDIDIKAN 1MALAYSIA UNTUK SEMUA

Satu lagi skim yang terbuka kepada seluruh pelajar di Malaysia ialah Skim Pendidikan 1Malaysia (SPP1M), yang dilancar dan dibuka permohonannya Mac lepas oleh Perdana Menteri, menyediakan pembiayaan tambahan melalui bank bagi semua pelajar yang layak bagi kursus dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Untuk keterangan lanjut mengenai program-program yang ditawarkan, pembaca digalak melayari www.penerajuedu.com atau www.facebook.com/penerajuedu bagi mendapatkan maklumat serta borang permohonan.

-- BERNAMA

This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Thatcher's Tyrants - The Tanks, The Guns, The Christmas Cards.

Diposkan oleh iwan di 13.24  

0 komentar:

Poskan Komentar