“Wajarkah restoran mamak buka 24 jam?”

Minggu, 24 November 2013

“Wajarkah restoran mamak buka 24 jam?”


Wajarkah restoran mamak buka 24 jam?

Posted: 24 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

DEWAN Rakyat baru-baru ini mendengar perbahasan tentang restoran dan kedai makan 24 jam yang dikaitkan dengan masalah kesihatan, obesiti dan trend pemakanan tidak sihat dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda.

Dalam menjawab cadangan untuk meneliti semula waktu operasi 24 jam itu, menteri berwajib melihat kedai seperti restoran mamak mahupun restoran makanan segera sebagai antara punca masalah obesiti tetapi bukan penyumbang utama kerana orang ramai sendiri perlu mempunyai kesedaran tentang pemakanan sihat.

Seperti juga mereka yang tidak mampu hidup tanpa telefon bimbit, ramai pihak menolak usaha mengurangkan waktu operasi kedai mamak mahupun kedai makanan segera kerana disifatkan tidak praktikal memandangkan rakyat negara ini sudah biasa hidup dengan pilihan makanan 24 jam.

Persoalannya, wajarkah kedai makan 24 jam diteruskan sedangkan usaha mendidik pemakanan sihat di kalangan generasi muda di tadika, sekolah, kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta kawalan iklan makanan segera di televisyen giat dilaksanakan?

Umum rata-ratanya sedar tidak elok kerap makan lewat malam khususnya sebelum waktu tidur tetapi sejak trend restoran 24 jam menular sekitar 1990-an, budaya pemakanan mahupun aktiviti sosial rakyat Malaysia telah banyak berubah.

Jika dahulu gejala lepak di kedai kopi kecil hanya sehingga kedai tutup tetapi kini bukan orang tua sahaja malahan ramai remaja dilihat menjadikan restoran 24 jam sebagai tempat melepak, paling dikhuatiri melibatkan muda-mudi yang berpeleseran serta kaki lumba haram.

Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman melihat isu tersebut mempunyai sudut positif dan negatif tersendiri yang perlu dinilai mengikut keadaan.

"Dalam isu ini, lokasi restoran 24 jam menjadi faktor utama menentukan sama ada ia perlu dibenarkan ataupun tidak sesuai diteruskan. Ini terutamanya di kawasan bandar-bandar besar di mana ada syif kerja siang dan malam.

"Restoran 24 jam menyediakan tempat makan kepada pekerja syif ini tetapi menjadi masalah bila orang lain mengubah tabiat makan apabila adanya pilihan kedai makan sepanjang masa," katanya.

Tegasnya, amalan makan lewat malam sememangnya tidak sesuai kerana jelas tabiat itu telah menyebabkan masalah obesiti kalangan rakyat Malaysia terus meningkat.

Beliau berpendapat antara puncanya adalah mudah mendapatkan makanan pada bila-bila masa tetapi untuk menyokong atau menolak sistem restoran 24 jam perlu mengikut keperluan di sesuatu kawasan.

"Ada tempat memang perlu pilihan kedai makan 24 jam ini, ada pula yang memang tidak perlu. Misalnya di bandar-bandar 'hidup', banyak kilang dan sebagainya, tidak mengapa ada restoran 24 jam tetapi tidak perlulah di tempat yang tiada aktiviti sehingga lewat malam.

"Jika tidak kena tempatnya, ini hanya menggalakkan orang ramai keluar waktu malam khususnya golongan muda-mudi yang melepak sehingga larut malam. Kita khuatir ia akan menyumbang kepada gejala sosial serta menjejaskan produktiviti kerja kerana mereka pasti mengantuk keesokan harinya," ujarnya.

Beliau juga bimbang melihatkan bukan sahaja belia malahan pelajar sekolah juga terpengaruh dengan budaya lepak di restoran 24 jam sama ada berjumpa kawan ataupun menonton bola sepak sehingga larut malam.

Dalam aspek kesan sosial kepada golongan muda, beliau mengingatkan ibu bapa akan peranan memantau anak-anak supaya tidak terlalu bebas bergaul dan memastikan mereka tidak keluar sehingga larut malam.

"Jika tidak kisah anak berpeleseran sehingga larut malam, pasti akan membawa kepada masalah lebih besar kelak. Restoran 24 jam hanya menyediakan perkhidmatan mengikut permintaan, menjadi tugas pelbagai pihak termasuk ibu bapa menilai dan memberi perhatian kesannya kepada masyarakat setempat.

"Pihak berkuasa juga perlu hadkan lesen restoran 24 jam ini, janganlah terlalu banyak di satu-satu kawasan seperti di Bangsar yang kini menjadi tumpuan orang dari merata tempat. Cukuplah setakat memenuhi keperluan setempat dan bukannya menggalakkan aktiviti sosial berlebihan," jelasnya.

Mohd. Yusof juga membangkitkan isu kebersihan di sesetengah restoran terbabit perlu dipantau memandangkan operasi 24 jam menyukarkan mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan khususnya jika terlalu sibuk.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula mewakili golongan belia dan pelajar menyokong restoran 24 jam diteruskan tetapi mungkin dengan sedikit perubahan.

"Restoran 24 jam ini ada baik dan buruknya tetapi kebaikan itu lebih banyak. Lagipun rata-ratanya restoran jenis ini bersih, bagus dan teratur dan kini menjadi keperluan ramai khususnya belia dan pelajar.

"Kemudahan restoran seperti internet Wifi dan Astro juga bagus kerana bukan semua orang mampu ada Astro. Bagaimanapun, nutrisi pelanggan juga perlu diambil kira kerana makanan yang disediakan kurang berkhasiat," katanya.

Beliau mencadangkan sedikit perubahan bagi memastikan diet masyarakat khususnya golongan muda terjaga dan menjadi tanggungjawab sosial pihak restoran untuk menyediakan alternatif pemakanan sihat.

Mengambil contoh restoran 24 jam di Jepun, beliau berharap cara sama dapat diamalkan di negara ini dengan menyediakan minuman seperti teh dan air berkarbonat tanpa gula, makanan segar terutamanya sayur dan hanya dimasak apabila dipesan pelanggan.

"Saya harap alternatif menu ini memberi peluang golongan muda memilih untuk makan secara sihat. Ini penting melihatkan perubahan tabii golongan muda yang bekerja depan komputer mahupun menelaah pelajaran sehingga lewat pagi.

"Yang penting, restoran 24 jam bersih dan selamat dengan persekitaran terjaga, bukannya tempat gelap yang membawa kepada aktiviti tidak sihat. Cuma menu sahaja perlu sedikit perubahan, selain itu kita menyokong ia diteruskan," ujarnya.

This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers.

Diposkan oleh iwan di 13.22  

0 komentar:

Poskan Komentar